Thursday, March 10, 2011

Bunga kertas penyeri ruang

          Pokok bunga kertas adalah pilihan bagi mereka yang inginkan taman sentiasa kelihatan ceria dan berseri dengan warna. Ini kerana pokok bunga kertas tahan panas dan boleh ditanam di tempat terbuka. Matahari memberikan kesihatan yang baik kepada pokok bunga kertas dan membolehkan ia sentiasa berbunga. Oleh itu ia sesuai bagi mereka yang memilih konsep tropika manakala bunga yang sentiasa berkembang juga sesuai untuk menerapkan konsep kedesaan bagi landskap kediaman.
         Bunga kertas jarang diserang serangga.Bagaimanapun jika terkena serangan boleh disembur dengan racun serangga biasa. Boleh juga diamalkan menyembur racun serangga sekitar sebulan sekali.Tanah hendaklah sentiasa digembur bagi memberikan pertumbuhan yang sihat.
          Pemasuan semula perlu dilakukan apabila akar sudah memenuhi pasu. Untuk itu keluarkan pokok daripada pasu dan pangkas akarnya. Selepas itu bolehlah dimasukkan semula pokok berkenaan di dalam pasu sama atau pasu yang lebih besar dengan diletakkan tanah baru.Selepas memasu semula, letakkan pokok di tempat teduh bagi tempoh dua hingga tiga minggu. Ini kerana pokok masih berada dalam keadaan tertekan dan perlu dijaga. Meletakkan ia di tempat terbuka akan membuatkan pokok semakin tertekan. Siraman secukupnya perlu dilakukan pada pokok yang mengalami pemasuan semula. Dalam pemilihan pasu untuk pokok bunga kertas gunakan pasu tanah liat dan bukannya plastik atau jenis licin. Ini bagi membenarkan kemasukan udara dan supaya air tidak bertakung.

        Ada sesetengah orang hairan mengapa pokok bunga kertas mudah luruh daun dan bunganya. Ini disebabkan terlalu banyak baja dan kurang disiram. Baja sifatnya panas dan jika terlalu banyak dibunuh di tempat terbuka ia menjadikan pokok bertambah panas. Kurang siraman juga menyebabkan keadaan semakin kering.

Panduan menanam bunga kertas
  • Bunga kertas memerlukan cahaya matahari sepenuhnya. Oleh itu untuk menghasilkan pokok yang cantik letakkan ia di tempat terbuka.
  • Siraman yang banyak juga penting bagi pertumbuhan dan kecantikan pokok. Jika musim kering lakukan siraman dua kali sehari tetapi bagi keadaan cuaca yang sederhana sekali sehari memadai.
  • Pembajaan perlu dilakukan dua minggu sekali. Gunakan baja organik dan baja campuran dan boleh diselang selikan. Bagi baja campuran, pastikan ia adalah baja bunga bukannya baja daun.
  • Kadar baja adalah sekitar satu sudu besar bagi baja campuran dan dua sudu besar bagi baja organik. Ini adalah kadar untuk pokok yang di dalam pasu.
  • Pemangkasan perlu dilakukan apabila bunga mulai gugur dan kurang berseri. Potong bahagian yang nampak tidak elok dan selepas seminggu bolehlah dibaja.

No comments:

Post a Comment